
Majlis Pemahsyuran Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal
Penubuhan rizab hidupan liar di Malaysia bermula dengan Rizab Hidupan Liar Chior di Perak. Rizab Hidupan Liar Chior ditubuhkan pada tahun 1903 di bawah Enakmen Perlindungan Haiwan Liar dan Burung untuk melindungi seladang dan spesies haiwan liar lain yang terancam oleh pembangunan ekonomi yang pesat dan perindustrian yang berlaku di Perak pada masa tersebut. Pada tahun 1926, negeri Pahang membangun dengan pesat di mana kawasan berhutan telah ditukarkan kepada kawasan penanaman getah. Keprihatinan masyarakat yang semakin meningkat mengenai pemuliharaan haiwan liar dan konflik manusia-haiwan liar, terutama di kawasan pertanian, telah menjadi pemangkin kepada penubuhan Rizab Hidupan Liar Krau (KGR) pada Jun 1923 di bawah Enakmen Perlindungan Haiwan Liar dan Burung 1921 dengan luas kawasan 55,158 hektar. Dengan penubuhan KGR, populasi hidupan liar dianggap akan dapat dikekalkan dalam rizab dan akan mengurangkan konflik hidupan liar dengan kawasan pertanian berdekatan. Selain itu, negeri Pahang mengambil langkah awal dalam mengurus kawasan perlindungan di negeri tersebut dengan menubuhkan Taman Negara dan KGR. Dalam testimoni kepada Suruhanjaya Haiwan Liar Malaya pada tahun 1931, Fetherstonehaugh, penguasa hidupan liar pertama bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan penguasa hidupan liar bagi Pahang, menyebut tindakan-tindakan seperti menubuhkan pos pengawal di pintu masuk, menandakan sempadan, membuat rondaan dan meningkatkan taburan jenut sebagai langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjadikan KGR sebagai rizab hidupan liar. Nama KGR kemudiannya ditukar kepada Rizab Hidupan Liar Krau (KWR) pada tahun 1965, dan pada November 2022, nama Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal (RHLTH) telah diwartakan secara rasmi. Luas kawasan RHLTH telah diubahsuai beberapa kali, dan saiz kawasan terkini Rizab ini adalah 60,551.608 hektar.
Jadual 1: Pemberitahuan warta dan saiz RHLTH
Pemberitahuan Warta | Maklumat Terperinci | Luas Kawasan |
F.M.S. G.N. 3541-1923 | Pembentukan 55,158 ha | 55,158 ha |
F.M.S. G.N. 5685-1925 | Pembentukan semula 53,013 ha | 53,013 ha |
F.M.S. G.N. 2848 | Pembentukan semula 65.266 ha | 65,266 ha |
Phg. G.N. 102-1965 | Pengeluaran 1982.95965 ha | 63,284 ha |
Phg. G.N. 39-1968 | Pengeluaran 890.308413 ha | 62,393 ha |
Persempadanan PERHILITAN 2021* | 60,551.608 ha |

Majlis Pemahsyuran Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal
Pada tahun 2022, RHLTH telah berjaya memperbaharui pelan pengurusan dalam tempoh 10 tahun. Pelan pengurusan ini menyenaraikan lapan (8) strategi dalam pengurusan Rizab iaitu:
Strategi 1: Membangunkan peraturan Rizab hidupan liar
Strategi 2: Melindungi sempadan Rizab dan mewujudkan zon pengurusan
Strategi 3: Melindungi sumber semula alam
Strategi 4: Meminimumkan impak konflik manusia-hidupan liar
Strategi 5: Fokus usaha penyelidikan
Strategi 6: Meningkatkan kualiti pengalaman pelawat
Strategi 7: Memperkasa komuniti setempat dan mempergiatkan usaha CEPA
Strategi 8: Meningkatkan kapasiti sumber manusia
RHLTH adalah salah satu kawasan rizab hidupan liar yang penting dan terbesar di Semenanjung Malaysia. Ia juga merupakan beberapa kawasan hutan tanah pamah yang masih kekal dan dilindungi di sebelah barat Malaysia. Sebagai salah satu kawasan perlindungan tertua di Malaysia, RHLTH kaya dengan biodiversiti dan sejarah yang mempunyai kepentingan sama dengan kawasan perlindungan lain yang terdapat di seluruh dunia. Usaha berterusan dalam mendokumentasikan data spesies tumbuhan dan hidupan liar, terutamanya di kawasan pergunungan dan lembangan, pemantauan spesies endemic dan terancam di RHLTH telah menunjukkan bahawa kawasan ini harus terus dipelihara. Kawasan ini dianggarkan mempunyai kira-kira 19.3% daripada jumlah keseluruhan flora Semenanjung Malaysia. Selain itu, sejumlah 655 spesies fauna (termasuk 79 mamalia) telah dirakam di RHLTH. Kawasan ini juga telah menjadi destinasi penggemar dan pengembaraan alam semula jadi. Aktiviti-aktiviti rekreasi yang terdapat di RHLTH adalah disokong dengan penyertaan komuniti setempat dalam menyediakan perkhidmatan dan produk ekopelancongan. Secara keseluruhannya, bukan sahaja RHLTH mempunyai kepentingan ekologi untuk pemuliharaan, tetapi juga mempunyai kekuatan ekonomi yang mencukupi yang menunjukkan kepentingannya di luar aktiviti konservasi.
Rizab hidupan liar adalah kawasan yang penting bagi hidupan liar, flora, dan fauna, ciri-ciri geologi atau ciri -ciri berkepentingan khas yang lain. Ia uruskan bagi tujuan konservasi dan memberikan peluang untuk penyelidikan dan rekreasi. Bagi RHLTH, objektif utama bagi pengurusan kawasan ini adalah untuk memelihara sumber biodiversitinya. Selain itu, objektif pengurusan RHLTH yang lain (immediate objectives) adalah seperti berikut:
RHLTH terletak di negeri Pahang dan di tengah-tengah Semenanjung Malaysia. Ia terletak kira-kira 167 km dari Kuantan, ibu negeri Pahang, dan 109 km dari Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia.

Lokasi RHLTH di Semenanjung Malaysia
RHLTH terletak di dua daerah di Pahang – Temerloh dan Jerantut, di mana sebahagian besar kawasannya terletak dalam daerah Temerloh. Di peringkat mukim, RHLTH terletak di Mukim Jenderak dan Mukim Semantan di daerah Temerloh dan Mukim Tebing Tinggi di daerah Jerantut. Selain itu, RHLTH boleh diakses melalui daerah Raub melalui Mukim Ulu Gali. Pejabat pentadbiran terletak di beberapa kawasan yang mana pejabat utama terletak di Bukit Rengit manakala pejabat kecil terletak di Lembah Klau, Kuala Lompat, dan Perlok. Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah (PKGK), Institut Biodiversiti, dan Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan terletak di dalam sempadan RHLTH. Walau bagaimanapun, kawasan – kawasan tersebut ditadbir oleh pentadbiran PERHILITAN yang berbeza dan menjalankan fungsi dan objektif pengurusan yang berbeza.
Komuniti setempat merujuk kepada sekumpulan orang yang secara tradisinya tinggal berdekatan dengan atau di dalam Rizab, bergantung dan menggunakan sumber semulajadi untuk penggunaan secara langsung dan/atau tidak langsung, seperti yang dibenarkan oleh undang-undang. Komuniti setempat juga dilengkapi dengan sistem sosial, identiti, kepentingan dan lokaliti yang sama, dan beberapa tahap autonomi tempatan dalam ruang geografi mereka. Pelan pengurusan sebelum ini telah menyenaraikan kampung atau perkampungan di dalam dan sekitar RHLTH.
Perkampungan di sekitar RHLTH
Kampung dan Penempatan | Etnik Utama | Daerah Pentadbiran |
FELDA Lembah Klau | Melayu | Raub |
FELDA Jenderak Utara | Melayu | Temerloh |
FELDA Jenderak Selatan | Melayu | Temerloh |
Kg. Ulu Cheka, Kg. Tengah, Kg. Perlok, Kg. Pekan Sehari, Kg. Tanjung Puteri, Kg. Jelai, Kg. Jeneris, Kg. Brau, Kg. Bau, Kg. Chap, Kg. Bukit Batu, dan Kg. Koi | Melayu | Jerantut |
Kg. Pian, Kg. Pasu, dan Kg. Sg. Terboi | Jahut | Temerloh |
Kg. Temir Klau | Temuan | Temerloh |
Kg. Penderas | Jahut | Temerloh |
Kg. Bolok Hilir, Kg. Bolok Hulu, Kg. Cempaka, dan Bukit Damar | Melayu | Temerloh |
Kg. Bess | Temuan | Temerloh |
Kg. Rekah dan Kg. Bukit Berdut | Jahut | Temerloh |
Kg. Enggang, Kg. Senel, Kg. Perah, Kg. Bayek, Kg. Bayek Neram, Kg. Beranti, Kg. Tua, dan Kg. Sabut | Che Wong | Temerloh |
Kg. Kusa dan Kg. Kusa 1 | Che Wong | Temerloh |

Rumah perkampungan dan masyarakat orang asli yang tinggal di dalam dan sekitar RHLTH

Rumah perkampungan dan masyarakat orang asli yang tinggal di dalam dan sekitar RHLTH
Kebanyakan kepelbagaian spesies adalah direkodkan semasa kajian saintifik dan ekspedisi terdahulu di RHLTH. Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 1,733 takson tumbuhan vaskular daripada 631 genera dan 170 keluarga direkodkan dalam RHLTH. Sekurang-kurangnya 197 taksa endemik telah direkodkan, yang merangkumi 11.37% daripada jumlah taksa dalam Rizab.

Flora yang terdapat di dalam RHLTH, Nepenthes sanguinea

Flora yang terdapat di dalam RHLTH, Rafflesia cantleyi
RHLTH mempunyai jumlah spesies yang tinggi dari segi vertebrata darat dan akuatik. Terdapat kira-kira 655 spesies hidupan liar, merangkumi 292 spesies burung, 65 spesies amfibia, 79 spesies reptilia, 71 spesies kelawar, 79 spesies mamalia (selain daripada kelawar), dan 69 spesies ikan telah direkodkan di Rizab ini.

Hidupan liar yang ditemui di dalam RHLTH, Hipposideros cervinus

Hidupan liar yang ditemui di dalam RHLTH, Nycticebus coucang.

Hidupan liar yang ditemui di dalam RHLTH, Tapirus indicus
Sumber rekreasi RHLTH boleh dibahagikan kepada dua kawasan yang berbeza. Kawasan pertama terletak di bahagian selatan yang merangkumi kawasan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, sebuah destinasi pelancongan yang popular di negara ini. Selain itu, terdapat kawasan air terjun dan lata seperti Lata Rengit yang mudah diakses. Kawasan kedua terletak di bahagian utara, yang merangkumi beberapa tarikan seperti Gunung Benom, Gunung Tungku, Bukit Bongkok, Lata Bujang, dan Lata Lemang.

Lata Bujang merupakan antara tarikan utama di RHLTH