A- A A+
A A |   Arial | PT Sans | Century |

                        
 Soalan Lazim | Hubungi Kami | Aduan & Maklumbalas | Peta Laman

PERUTUSAN TAHUN BARU 2017 OLEH KETUA PENGARAH PERHILITAN

Kadar pengguna: 5 / 5

bintang aktifbintang aktifbintang aktifbintang aktifbintang aktif

KETUA PENGARAH 

JABATAN PERLINDUNGAN HIDUPAN LIAR DAN TAMAN NEGARA

(PERHILITAN) SEMENANJUNG MALAYSIA

 

PERUTUSAN TAHUN BARU 2017

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua warga Jabatan PERHILITAN. 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2017 kepada semua. Semoga Tahun Baru ini membuka lembaran baru untuk kita semua dan memberi semangat baru untuk menjalankan perancangan kerja tahun 2017 dengan lancar dan berkesan. 

Tahun 2016 merupakan tahun yang bermakna bagi saya kerana telah diberi amanat dan dilantik sebagai Ketua Pengarah mulai 25 Ogos 2016. Dalam tempoh beberapa bulan ini, saya telah menyaksikan semangat kerjasama yang erat sesama anggota PERHILITAN dan bersama-sama menjayakan beberapa program dan menyampaikan perkhidmatan yang bermutu kepada orang awam.  

Sepanjang tahun 2016, Jabatan PERHILITAN telah mencapai beberapa ‘milestone’ yang bermakna. 

Jabatan bersama kepimpinan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengadakan satu Majlis Pelupusan Gading Gajah Afrika Rampasan di Kualiti Alam Sdn Bhd pada 14 April 2016. Program ini merupakan yang pertama diadakan di Malaysia dan menunjukkan kesungguhan dan tekad kerajaan kita bagi memerangi jenayah hidupan liar peringkat antarabangsa. 

Selain itu, beberapa operasi penguatkuasaan yang fokus kepada perdagangan hidupan liar secara atas talian seperti Ops Chameleon dan Ops Taring juga membuahkan hasil apabila beberapa aktiviti tersebut dapat dipatahkan. Syabas diucapkan kepada semua anggota penguatkuasa terlibat yang menjayakan operasi tersebut. 

Pada 26 Julai 2016, Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan telah dirasmikan oleh YB Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan merupakan kemudahan makmal forensik hidupan liar yang pertama di rantau Asia Tenggara dan dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa. Tujuan pembangunan makmal ini adalah untuk  meningkatkan keupayaan pengendalian kes forensik hidupan liar serta penyelidikan di peringkat genetik ke arah pembanterasan jenayah hidupan liar dan menjamin kelestarian spesies hidupan liar tempatan. 

Sepanjang tahun 2016, sebanyak 8 Siri 1MBEON (1Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network) telah dijalankan. Program 1MBEON telah menyaksikan penglibatan bersama daripada Angkatan Tentera Malaysia(ATM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia(JPSM), Perbadanan Taman Negeri Johor dan Perbadanan Taman Negeri Perak. Walaupun Jabatan digemparkan dengan insiden anggota penguatkuasa Jabatan yang dicedera oleh PATI semasa menjalankan tugas, namun diharapkan insiden ini tidak menjadi satu halangan kepada semua untuk terus berkhidmat dalam melindungi khazanah negara.  Syabas diucapkan kepada komitmen semua anggota yang terlibat dalam program 1MBEON ini. 

Sudah tentu ada banyak lagi kejayaan yang telah dikecapi Jabatan tetapi tidak mampu disenarai satu demi satu di sini. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua. Semoga momentum ini dapat diteruskan pada tahun 2017 dan tahun-tahun seterusnya. 

Jabatan PERHILITAN terus memandang berat terhadap pembangunan modal insan dan pengiktirafan kepakaran serta sumbangan kakitangan dalam menjalankan tugas. Pada 1 November 2016, empat (4) kakitangan Jabatan telah diberi sijil perlantikan sebagai Pakar Jerat yang turut diiktiraf oleh Department Of Justice, US Embassy.

Selain itu, pakar-pakar dalam pelbagai kelas hidupan liar juga turut dilantik sebagai pengiktirafan kredibiliti kakitangan tersebut dalam melaksanakan tugas terutamannya apabila melibatkan hal-hal yang berkaitan perundangan.

Dua (2) orang warga Jabatan PERHILITAN telah diberi apresiasi dan pengiktirafan sebagai Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert - SME) dalam bidang Konservasi Hidupan Liar, susulan surat lantikan Laluan Pakar Bidang Khusus (SME) daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Meskipun tahun 2017 dijangka akan terus menjadi satu tahun yang mencabar bagi sektor perkhidmatan awam, namun keadaan iklim ekonomi yang mencabar tidak patut dijadikan alasan tetapi satu dorongan kepada penjawat awam untuk berikhtiar, berinovasi dan terus menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.  Tambahan lagi, lambakan gajet pintar mudah alih dan medial sosial telah mengubah haluan penyampaian perkhidmatan awam daripada ‘Government Knows Best’ ke ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.  Ekspektasi rakyat terhadap kualiti perkhidmatan yang bakal diterima turut makin meningkat.  

Arah aliran penyampaian maklumat masa nyata atau ‘real-time’ ini bukan sahaja membolehkan maklumat yang tepat disalurkan kepada pelanggan kita secara langsung, namun memberi satu wadah kepada mereka untuk menilai dan memberi maklum balas secara terus terhadap prestasi penyampaian perkhidmatan kita. Perkembangan teknologi dan media sosial masa kini telah menyebabkan elemen kesegeraan kerja wajib diterapkan dalam cara kerja seharian penjawat awam. 

InsyaAllah, dengan komitmen dan kerjasama semua kakitangan Jabatan PERHILITAN, saya yakin Jabatan PERHILITAN mampu mengharungi cabaran ini dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik, seterusnya satu langkah lebih dekat dengan matlamat mengembalikan semula kekuatan dan peranan Jabatan dalam pengurusan hidupan liar dan kawasan perlindungan, dan imej serta persepsi yang positif orang awam dan masyarakat terhadap Jabatan PERHILITAN. 

Dalam usaha menaikkan nama baik dan mengembalikan imej positif Jabatan, semua kakitangan perlu menerapkan nilai-nilai positif dalam setiap tindakan dan menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh integriti. 

Integriti sesuatu organisasi mencerminkan budaya organisasi dan sesuatu nilai yang terlalu penting bagi sesuatu organisasi untuk diperlekehkan. ‘Sebab nila setitik, rosak susu sebelanga’. Insiden salah laku kakitangan bukan sahaja menggugat integriti sesebuah organisasi, kejadian ini juga mampu mengganggu momentum dan dinamik sesebuah organisasi dalam jangka masa panjang. Kepercayaan orang awam terhadap integriti Jabatan kita juga akan mengambil masa yang lama untuk pulih.  Sebelum kita bertindak, kita haruslah berfikir tentang baik buruknya tindakan tersebut agar tidak berlakunya penyesalan kemudian hari. 

Sehubungan ini, saya yang diberi amanah sebagai pemimpin organisasi ini menyeru semua kakitangan Jabatan, sama ada pegawai teknikal atau gunasama, untuk memberikan komitmen ikhlas masing-masing untuk bersama-sama kita menuju kejayaan ini.

Di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan/ National Blue Ocean Strategy (NBOS), Jabatan PERHILITAN akan meneruskan program NBOS sedia ada dan berusaha untuk meneroka peluang baru untuk menghasilkan program yang berimpak tinggi dengan kos yang minimum. Bagi tahun 2017, program NBOS 1MBEON (1Malaysia Biodiversity Enforcement Operation Network) akan terus diadakan bagi menyokong pengekalan integriti Kawasan Perlindungan. 

Peluang kerjasama bersama NGO juga akan terus diteroka, bukan sahaja membentuk engagement dengan pemegang taruh, juga memastikan situasi ‘winwin’ dalam konservasi hidupan  liar dan penjagaan kawasan perlindungan dapat diwujudkan. 

Survei Harimau Kebangsaan Pertama akan dilaksanakan dari tahun 2016 hingga 2018 melalui peruntukan Rancangan Malaysia Kesebelas.  Hasil survei ini akan dapat mengenalpasti lokasi, habitat penting serta populasi Harimau Malaya dengan lebih tepat dan saintifik.  Kerjasama dan komitmen Kerajaan Negeri serta Badan Bukan Kerajaan amat diperlukan untuk melindungi habitat Harimau Malaya. Dengan adanya Survei Harimau Kebangsaan ini serta pengiktirafan spesies Harimau Belang sebagai ‘Flagship Species’ kebanggaan negara, kami berharap usaha pemuliharaan dan perlindungan spesies hidupan liar terancam yang lain juga dapat dihebahkan. 

Sebelum saya mengakhiri perutusan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan yang telah berkhidmat dengan jayanya sepanjang 2016, selamat bersara kepada yang telah bersara dan selamat datang kepada kakitangan yang baharu menyertai pasukan Jabatan PERHILITAN. Selamat maju jaya dan selamat bertugas kepada semua. Saya mendoakan agar semua dalam keadaan yang sihat dan sejahtera dan berharap semua warga PERHILITAN akan menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh keikhlasan dan integriti serta sentiasa mencari ilmu pengetahuan yang dapat memantapkan kemahiran dan sumbangan anda dalam menjalankan tugas. 

Jabatan PERHILITAN juga ingin memohon kerjasama semua untuk terus menyokong usaha Jabatan di samping menjadi mata dan telinga dalam perlindungan hidupan liar dan habitatnya. 

Sekian, Wabillah Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Terima kasih. 

ABDUL KADIR BIN ABU HASHIM

Cetak Emel

Comments are now closed for this entry

INFORMASI
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) 
Semenanjung Malaysia
Km 10, Jalan Cheras
56100 Kuala Lumpur
Tel : 03-90866800       Fax : 03-90752873
Email : webmaster[at]wildlife[dot]gov[dot]my
                     
TAG POPULAR
                        
PAUTAN  
 Portal Rasmi Kerajaan Malaysia Portal Rasmi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli footerMSC  
Logo Biro Pengaduan Awan BPA Logo Prestariangfor upload Screen Shot 2017 06 05 at 2.55.50 PM 
                         
MEDIA SOSIAL 
Facebook icon Twitter icon Instagram Youtube icon RSS icon Mobile icon
   
STATISTIK

Jumlah Pelawat : 2955695

Kemaskini : 22 Oktober 2020.