MAJLIS SAMBUTAN GLOBAL TIGER DAY 2019

Kadar pengguna: 1 / 5

bintang aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif
 

Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah menganjurkan Majlis Sambutan Global Tiger Day 2019 pada 28 Julai 2019 di Le Meridian Hotel Putrajaya.

Majlis ini bermula dengan ucapan YB Menteri dan tayangan khas video Kempen Selamatkan Harimau Malaya. Ucapan perasmian dan pelancaran Global Tiger Day 2019 telah disempurnakan oleh YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah binti Haji Mohd Ali, Penaung Kempen Selamatkan Harimau Malaya.

Majlis tersebut turut mengumumkan inisiatif kerjasama antara Jabatan PERHILITAN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras dan memerangi penceroboh serta pemburu haram hidupan liar melalui operasi penguatkuasaan bersepadu.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada badan-badan korporat, badan bukan kerajaan (NGO), universiti, sekolah dan warga KATS untuk Tabung Selamatkan Harimau Malaya berjumlah RM1,344,800.00.

Bersempena Sambutan Global Tiger Day 2019 ini juga, Pos Malaysia telah bekerjasama dengan Jabatan PERHILITAN mengeluarkan Siri Setem “Konservasi Hidupan Liar”. Siri pada kali ini merupakan inisiatif Pos Malaysia dalam menyampaikan mesej tentang kepentingan pemuliharaan hidupan liar di Malaysia terutamanya melibatkan Harimau Malaya.

Program ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, YB Dr. Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YBhg. Dato’ Seri Abdul Hamid Bador, Ketua Polis Negara, YBM Tengku Zulpuri Shah Bin Raja Puji, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YBhg. Datuk Zurinah Binti Pawanteh, Ketua Setiausaha, Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian, Ketua-ketua Jabatan di bawah KATS, wakil-wakil agensi kerajaan dan antarabangsa, badan-badan korporat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak media tempatan dan antarabangsa.

Global Tiger Day disambut pada 29 Julai setiap tahun di seluruh dunia untuk mempromosi perlindungan habitat semulajadi harimau dan meningkatkan tahap kesedaran dalam pemuliharaan spesies harimau. dan sokongan global terhadap isu-isu pemuliharaan harimau.

Kempen Selamatkan Harimau Malaya yang bermula dari tahun 2019 hingga tahun 2020 ini merupakan inisiatif KATS melalui Jabatan PERHILITAN dalam menggembleng usaha konservasi bagi meningkatkan populasi Harimau Malaya yang semakin diancam kepupusan.

    Cetak