SAMBUTAN HARI HIDUPAN LIAR SEDUNIA TAHUN 2018 PERINGKAT KEBANGSAAN

Bintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktifBintang tidak aktif

SAMBUTAN HARI HIDUPAN LIAR SEDUNIA TAHUN 2018 PERINGKAT KEBANGSAAN

Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Pejabat Daerah Tangkak telah menganjurkan Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2018 Peringkat Kebangsaan di Dataran Ledang, Tangkak, Johor pada 1 April 2018. Sambutan ini merupakan yang julung kali diadakan di Peringkat Kebangsaan.

Tema sambutan tahun ini adalah “Big Cats: Predators Under Threat”, memberi fokus kepada ancaman kepupusan spesies kucing besar (big cats) seperti Harimau Belang, Harimau Kumbang Dan Harimau Dahan yang turut terdapat di Malaysia.

YB Datuk Seri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar telah menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2018 Peringkat Kebangsaan. Turut hadir ialah YB Datuk Ir. Dr. Haji Hamim bin Samuri, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar merangkap Ahli Parlimen Ledang.

Menyedari ancaman jerat terhadap populasi hidupan liar, sempena sambutan World Wildlife Day tahun ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan PERHILITAN telah mengisytiharkan tahun 2018 sebagai Tahun Perangi Jerat. Sijil Rakan Strategik Tahun Perangi Jerat turut disampaikan kepada tujuh (7) buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam penyelidikan dan pengurusan hidupan liar, iaitu World Wide Fund For Nature (WWF) Malaysia, Malaysian Nature Society (MNS), Wildlife Conservation Society Malaysia Program (WCS Malaysia), TRAFFIC Southeast Asia, Malaysian Conservation Alliance For Tigers (MYCAT), RIMBA dan Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (PELINDUNG).

Pelbagai aktiviti telah disediakan seperti pertandingan mewarna, pameran pelbagai agensi kerajaan dan NGO. Kempen #ILoveMYGajah yang menonjolkan tiga (3) ekor anak gajah, iaitu Lepar, Dara dan Elli yang diselamatkan oleh Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia dan kini berada di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang. Elli, anak Gajah betina yang kini berumur 2 tahun telah dijumpai terpisah dan kaki kanan hadapan terputus disyaki terkena jerat. Elli telah dibawa ke PKGK untuk menerima rawatan dan lukanya telah sembuh bawah jagaan rapi kakitangan PKGK.

Pada majlis yang sama, Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Kesang serta Penyerahan Laman Rekreasi di Parlimen Ledang juga telah disempurnakan oleh YB Datuk Ir Datuk Haji Hamim bin Samuri, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

  • IMG 5015
  • IMG 5105
  • IMG 5204
  • IMG 5211
  • IMG 5247
  • QZK 4912
  • IMG 5143
  • QZK 4949
  • UKK 2
  • UKK1

     

    Cetak