Selamat berkunjung ke Laman Web Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sentiasa komited untuk memastikan hidupan liar dan habitatnya terus dilindungi, dipulihara dan diurus secara lestari. Dalam mendepani cabaran konservasi yang semakin kompleks, termasuk kehilangan dan fragmentasi habitat, konflik manusia-hidupan liar serta pemburuan dan perdagangan haram hidupan liar, Jabatan akan terus memperkukuh usaha konservasi melalui pengurusan kawasan perlindungan, penguatkuasaan, penyelidikan dan pemantauan saintifik serta penerapan teknologi dan inovasi.
Usaha ini dilaksanakan berteraskan tadbir urus yang baik, integriti, profesionalisme dan pendekatan berasaskan sains dan data, di samping memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan keberkesanan konservasi hidupan liar negara.
Seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masyarakat terhadap akses maklumat yang pantas dan tepat, laman sesawang rasmi Jabatan PERHILITAN merupakan gerbang utama penyampaian maklumat dan perkhidmatan Jabatan kepada masyarakat. Platform ini menyediakan akses kepada maklumat rasmi berkaitan perkhidmatan, perundangan, program, penerbitan serta pelbagai inisiatif konservasi yang dilaksanakan oleh Jabatan.
Saya berharap laman sesawang ini terus menjadi sumber rujukan rasmi yang bermanfaat, di samping berperanan sebagai saluran komunikasi yang berkesan antara Jabatan dengan masyarakat. Melalui penyampaian maklumat yang tepat dan berterusan, laman sesawang ini diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat serta menggalakkan penglibatan bersama dalam usaha melindungi dan memulihara hidupan liar serta habitatnya.
Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, saya yakin khazanah hidupan liar negara dapat terus dipelihara demi keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan generasi akan datang.
Sekian, terima kasih.
YBhg. Dato’ Fakhrul Hatta bin Musa
Ketua Pengarah
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN)
Semenanjung Malaysia