Web
  www.wildlife.gov.my
 
   
 
 
  KONSERVASI BIODIVERSITI  
     
 
Inventori Biodiversiti
Pengawalan Sepenuh Masa Taman Negara
Kawalan Konflik Manusia Dengan Hidupan Liar
Konservasi Spesies Terancam Dan Komersil
Penilaian Impak Strategik
Pengurusan Habitat
...................................................................................................................................................................................................................
 
KONSERVASI SPESIES TERANCAM DAN KOMERSIL
Menjalankan program-program pemantauan, perancangan dan pengurusan spesies hidupan liar terancam dan komersil secara in-situ.
 
1. Konservasi Spesies Terancam
 
Di bawah program ini 6 kumpulan spesies hidupan liar dipantau secara berkala di mana beberapa program spesifik juga dijalankan bagi menambah populasi sedia ada seperti program reintroduction, restocking dan translocation. Spesies-spesies yang terlibat dengan program ini ialah: Gajah, Seladang, Burung Kuang (Merak Hijau, Kuang Cermin dan Merak Pongsu) dan Burung Upeh.
 
   
i. Badak Sumatera (Kertas Maklumat)
 

Program pemantauan yang dijalankan meliputi tinjauan ke kawasan-kawasan di mana kehadiran spesies Badak Sumatera telah dilaporkan oleh pegawai dan kakitangan Jabatan PERHILITAN atau daripada laporan orang ramai. Satu Rhino Protection Unit (RPU) (dengan anggota 5-6 orang) yang terdiri daripada beberapa orang pegawai dan kakitangan yang dipilih khas daripada Ibu Pejabat PERHILITAN, negeri-negeri yang masih menampung spesies ini dan Taman Negara Pahang/Kelantan/Terengganu telah ditubuhkan pada tahun 1995 bagi membantu di dalam program ini.

Tugas utama Unit ini ialah memantau kehadiran spesies Badak Sumatera di negeri-negeri yang terlibat, mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan pemakanan dan habitat dan juga menjalankan program kawalan terhadap pencerobohan ke atas habitat spesies ini dan juga perburuan haram. Unit ini juga ditugaskan untuk mendapatkan semua maklumat berkaitan lain-lain spesies hidupan liar dan juga pencerobohan di kawasan-kawasan terbabit.

Kaedah penggunaan perangkap kamera juga dijalankan bagi mengesan kehadiran spesies Badak Sumatera dan lain-lain hidupan liar di kawasan-kawasan tinjauan. Badak Sumatera yang dapat dikesan melalui perangkap kamera atau dilihat secara terus di kawasan-kawasan yang tidak selamat (doomed) akan ditangkap dan dibiakkan di dalam kurungan.

   
ii. Seladang (Kertas Maklumat)
 
Program pemantauan taburan dan populasi seladang dijalankan melalui Program Inventori dan program kawalan Badak Sumatera. Semua maklumat spesies ini dikumpulkan untuk dianalisis bagi tujuan pengurusannya.

Program restocking bagi seladang telah dirancang untuk dijalankan di kawasan Rizab Hidupan Liar Krau (RHLK), Pahang dan Taman Negara Pahang bagi menambah populasi mereka. Di RHLK, sepasang seladang telah dipasangkan dengan satellite radio-collar bagi menyenangkan pemantauan ke atasnya selepas pelepasan dijalankan. Program ini dijalankan mengikut IUCN Reintroduction Guidelines.
   
iii. Harimau (Kertas Maklumat)
 

Program pemantauan taburan dan populasi harimau dijalankan melalui program Inventori dan program kawalan Badak Sumatera. Semua maklumat spesies ini dikumpulkan untuk dianalisis bagi tujuan pengurusan spesiesnya. Program pemasangan perangkap kamera dijalankan ke atas spesies ini juga dijalankan melalui program kawalan Badak sumatera dan inventori hidupan liar.

Program kesedaran awam terhadap harimau dan lain-lain hidupan liar dijalankan dengan kerjasama MYCAT (Malaysian Conservation Alliance for Tiger) di negeri Johor dan Pahang. Program ini akan dikembangkan ke negeri-negeri yang mempunyai konflik manusia-harimau iaitu Perak, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Terengganu.

   
iv. Gajah (Kertas Maklumat)
 

Program pemantauan taburan dan populasi gajah dijalankan melalui program Inventori dan program kawalan Badak Sumatera. Semua maklumat spesies ini dikumpulkan untuk dianalisis bagi tujuan pengurusan spesiesnya. Program pemasangan perangkap kamera dijalankan ke atas spesies ini juga dijalankan melalui program kawalan Badak Sumatera dan inventori hidupan liar.

Program tangkapan gajah-gajah yang menimbulkan konflik dengan manusia dijalankan oleh beberapa Unit Tangkapan Gajah yang telah diwujudkan di negeri-negeri seperti Perak, Kelantan dan Terengganu. Negeri Pahang dan Johor juga sedang dalam usaha mewujudkan Unit Tangkapan Gajah. Setelah gajah-gajah yang bermasalah ditangkap, kerja-kerja memindahkan mereka akan dijalankan oleh Unit Tangkapan Gajah yang bertempat di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Unit Tangkapan Gajah ini telah ditubuhkan pada tahun 1974, bertempat di Kuala Lompat, Pahang. Setelah kompleks khas bagi Unit ini siap dibina pada tahun 1992, mereka telah berpindah dan menetap di sini sehingga kini. Sejak penubuhannya, sebanyak 540 ekor gajah telah berjaya ditangkap dan dipindahkan daripada kawasan-kawasan konflik tersebut. 183 ekor daripadanya telah dipindahkan ke Taman Negara Terengganu, 44 ekor ke Taman Negara Endau Rompin, 59 ekor ke Taman Diraja Belum dan 58 ekor ke lain-lain kawasan hutan yang bersesuaian.

   
v. Burung Kuang
 
Sebanyak enam spesies burung kuang sedang dibiakkan di dalam kurungan bagi tujuan reintroduction dan restocking ke kawasan-kawasan perlindungan seperti Taman Negara Pahang, Taman Negara Kelantan dan Taman Negara Terengganu, Rizab Hidupan Liar Krau, Pahang; Rizab Hidupan Liar Sungkai, Perak dan Rizab Hidupan Liar Sungai Dusun, Selangor. Keenam-enam spesies yang terlibat ialah: Kuang Raya, Kuang Cermin, Merak Pongsu, Merah Mata, Pegar dan Merak Hijau.

Burung-burung yang akan dilepaskan diletakkan di dalam sangkar-sangkar sementara yang dibina khas untuk penyesuaian dengan kawasan pelepasan mereka yang baru. Kesemua burung-burung ini dipasangkan dengan radio collar bagi menyenangkan pemantauan ke atas mereka dibuat apabila mereka dilepaskan ke habitat baru. Pemantauan secara berterusan untuk selama satu bulan akan dijalankan ke atas burung-burung yang telah dilepaskan. Kemudiannya pemantauan akan dijalankan untuk seminggu secara berselang-seli sehingga burung-burung yang telah dilepaskan dapat hidup secara semula jadi. Makanan akan diberikan pada permulaan pelepasan bagi memastikan burung-burung yang baru dilepaskan dapat mencari makanan yang mencukupi.

Burung-burung akan dilepaskan secara berpasangan bagi memastikan pasangan yang mencukupi boleh hidup bebas dan berpeluang untuk membiak. Pelepasan akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya 6 pasang burung daripada spesies yang sama dapat hidup bebas di kawasan pelepasan.
 
vi.
Burung Upeh
 
Di Semenanjung Malaysia, burung Upeh mempunyai populasi yang amat kritikal. Populasi liarnya hanya boleh didapati di kawasan Kuala Gula, Perak. Jumlah tertinggi yang pernah direkodkan ialah 8 ekor dalam tahun 2005.

Pada tahun 1998 sebanyak 10 ekor burung telah dilepaskan semula di kawasan paya bakau Kuala Selangor. Program pelepasan tersebut telah dijalankan atas kerjasama antara pihak Malayan Nature society (MNS), Zoo Negara dan Jabatan PERHILITAN. Sehingga kini 4 ekor masih boleh dilihat di kawasan pelepasan.

Pada 4 Mac 2007, 4 pasang burung Upeh ini telah dilepaskan dikawasan Kuala Gula, Perak atas kerjasama antara pihak Jabatan PERHILITAN dengan pihak Zoo Negara. Pemantauan harian telah dijalankan untuk selama satu bulan. Daripada jumlah tersebut, hanya 4 ekor (2 pasang) masih dapat dlihat di sekitar kawasan pelepasan sementara burung Upeh yang kelima cuma dapat dilihat untuk selama kurang daripada 1 bulan. 3 ekor burung yang dilepaskan tidak dapat dikesan selepas satu hari pelepasan dijalankan.

Program pelepasan akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya 150 ekor populasi asalnya pada tahun 1989 dapat dikembalikan ke kawasan ini dan pembiakannya dapat dilakukan dengan jayanya. Kesemua burung-burung yang akan dilepaskan akan dipasangkan dengan sattelite radio collar bagi menyenangkan pemantauan ke atas pergerakan mereka dibuat.

Program-program kesedaran awam juga telah dijalankan di kawasan pelepasan semula bagi mendapat sokongan orang ramai terutamanya penduduk tempatan dalam program konservasinya.
   
vii. Program menjaring dan menggelang burung
 
Bertujuan untuk mengetahui spesies burung yang terdapat di sesuatu kawasan dan pengumpulan data morfologinya. Sehingga 2005, sebanyak 15 kawasan telah dikaji. Jumlah burung yang dijaring dan digelangkan adalah sebanyak 16,614 ekor dengan 1,603 tangkapan semula (burung air). Senarai Burung-burung yang telah dijaring dan digelangkan adalah seperti: Lampiran 6.1
   
   
2. Konservasi Spesies Komersil
 
i. Burung Layang-layang Gua
 

Kajian ke atas rumah sarang burung layang-layang gua telah dijalankan bagi mengenalpasti taburan dan kepadatannya di Semenanjung Malaysia. Kajian ini dilakukan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan. Kajian ke atas kandungan nutrien sarang burung layang-layang ini juga telah dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Tujuan utama kajian ini adalah untuk mencari perbezaan nutrien pada sarang burung bagi semua negeri dengan permulaan dijalankan di daerah Bentong (Pahang), Bandar Hilir (Melaka) dan Kuala Krai (Kelantan).

   
ii. Non-detrimental findings
 
Biawak, Ular Sawa dan Ular Tedung Selar
Kajian populasi Biawak Air, Ular Sawa dan Ular Tedung Selar dilakukan untuk mendapatkan anggaran populasi dan taburannya di Semenanjung Malaysia mengikut jenis-jenis habitat yang dikaji, merangkumi ladang kelapa sawit, hutan tanah pamah, hutan paya bakau dan sawah padi. Tujuh negeri telah dipilih merangkumi Johor, Selangor, Pahang, Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
 
Kera
Kajian populasi kera telah dijalankan di seluruh Semenanjung Malaysia dengan mengambilkira habitat utama, mereka di kawasan pinggiran hutan primer dan sekunder serta kawasan konflik manusia-kera di bandar-bandar, kawasan belukar dan kawasan pertanian. Jumlah keseluruhan populasi kera yang dianggarkan adalah 742, 175 ekor.