Web
  www.wildlife.gov.my
 
   
 
 
  EKOPELANCONGAN  
 
   
  <<kembali
SANTUARI BURUNG KUALA GULA, PERAK
 
 
Kuala Gula merupakan sebuah perkampungan nelayan terletak di persisiran pantai utara negeri Perak, kira-kira 50 km dari barat laut Bandar Taiping. Ianya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Paya Laut Matang yang terdiri daripada hutan bakau dan kawasan pantai berlumpur. Berhampirannya ialah Pulau Kelumpang, sebuah pulau yang terdapat di dalam hutan simpan tersebut, disempadani oleh Sungai Selinsing di bahagian tenggara, Sungai Kelumpang di bahagian timur laut dan kawasan laut di bahagian baratnya. Keseluruhan Pulau Kelumpang dikelilingi oleh pantai berlumpur yang baru terbentuk di mana anak-anak pokok Api-api (Avicennia spp.) hidup di atasnya. Kawasan ini penting sebagai kawasan mencari makan untuk burung-burung berhijrah dan tempat bertelur untuk burung residen.


Kepelbagaian Hidupan Liar

Kuala Gula telah terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa terutamanya kepada pemerhati burung kerana ianya amat signifikan dengan kewujudan burung air/berhijrah. Ramai pelawat tempatan dan antarabangsa seperti Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Jepun dan negara lain datang ke Kuala Gula untuk melihat burung-burung ini.

Setiap tahun, pelbagai spesies burung singgah di Kuala Gula dalam laluan migrasinya. Terdapat beberapa laluan migrasi di dunia dan Malaysia terletak dalam laluan East Asian-Australasian Flyway. Pelbagai spesies burung air/berhijrah boleh ditemui bermula daripada akhir Ogos hingga April setiap tahun. Spesies-spesies yang dikelaskan sebagai terancam oleh IUCN seperti Botak Upeh (Mycteria cinerea), Botak Kecil (Leptoptilos javanicus), Bangau China (Egretta eulophotes) dan Kedidi Kaki Hijau (Tringa nebularia) juga boleh didapati di sini. Kewujudan hutan paya bakau di Kuala Gula menyediakan kawasan persinggahan, kawasan berehat dan kawasan bersarang yang amat sesuai untuk pelbagai spesies tempatan di sini. Selain daripada itu, beting pasir dan beting lumpur menyediakan pelbagai sumber makanan yang diperlukan oleh burung-burung ini seperti ikan, ketam, siput dan cacing. Di Malaysia, sebahagian besar daripada spesies burung-burung di sini dilindungi bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara 76/72.

 


Berdasarkan survei yang telah dijalankan oleh pihak Jabatan PERHILITAN iaitu di antara tahun 1984 hingga 2007 sejumlah 192 spesies burung termasuk spesies berhijrah telah direkodkan. Selain itu, mamalia seperti tupai, tikus, kelawar, memerang, lotong, kera, babi hutan, ikan lumba-lumba, kucing hutan dan musang juga boleh ditemui di sini. Reptilia seperti biawak air, ular sawa, ular air dan ular kapak bakau terdapat juga di sini.

Program pelepasan semula Burung Upeh
Pada 4 Mac 2007, pihak Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama Zoo Negara telah menjalankan program pelepasan semula Burung Upeh di Kuala Gula. Sejumlah 8 ekor telah dilepaskan dan sehingga kini, 4 ekor masih boleh dilihat di kawasan sekitar. Keempat-empat burung ini menunjukkan perkembangan yang positif dari sehari ke sehari. Sepasang daripadanya telah mula membina sarang di kawasan pelepasannya pada 16 September 2007. Pemantauan dijalankan setiap hari di kawasan keliarannya. Program ini akan diteruskan sehingga populasi yang stabil diwujudkan.

Kemudahan di Santuari Burung Kuala Gula, Perak
Sebuah Pusat Interpretasi yang diselenggarakan oleh Jabatan PERHILITAN juga terdapat di sini. Ia menyediakan maklumat berkaitan burung-burung berhijrah yang ada di sini dan fungsi jabatan dalam program pemuliharaannya.

Penginapan, Bot dan Pemandu Pelancong
Terdapat sepuluh buah syele untuk pelancong yang datang ke santuari ini. Syele tersebut disediakan pada kadar sewa yang berpatutan untuk pelancong-pelancong yang berminat untuk bermalam di Kuala Gula. Bot-bot kepunyaan orang kampung di sini boleh disewa untuk tujuan memancing, memerhati hidupan liar/burung dan lain-lain dengan kadar harga yang berpatutan.

Maklumat lanjut, sila hubungi:

Pengarah PERHILITAN Negeri Perak
Tkt. 3, Wisma Persekutuan
Jalan Dato' Seri Ahmad Said
Greentown, 30450 Ipoh, Perak
Tel: 05-243 6645
Faks: 05-243 6635
E-mel: shabrina@wildlife.gov.my
             perak@wildlife.gov.my
             pphlpk5@tm.net.my
  Ketua Projek
Santuari Burung Kuala Gula
Jabatan PERHILITAN
Pos Kuala Gula, 34350, Kuala Kurau, Perak
Tel: 05-890 2207
Faks : 05-8905773
E-mel: mzainuddin@wildlife.gov.my